Jumaat, 7 November 2008

Kata2 Azimat Berduri...

Wawasan yang tidak diiringi dengan tindakan adalah impian semata-mata. Tindakan tanpa wawasan sekadar mengisi masa. Wawasan dengan tindakan boleh mengubah dunia. – Joel Arthur Barker

Adalah sukar untuk mengatakan apa yang mustahil kerana impian semalam adalah harapan hari ini dan kenyataan hari esok. –Robert H. Goddard

Sesetengah orang melihat sesuatu dan bertanya mengapa ia begitu. Saya idamkan sesuatu yang belum wujud dan bertanya, kenapa tidak? –Robert F. Kennedy

Strategi ialah mengenai menjadikan anda berlainan daripada pesaing. Ia bukannya perihal menjadi lebih baik dalam apa yang dilakukan tetapi perihal mencapai kelainan dalam apa yang anda lakukan. –Michael Porter

Tumpuan mesti diberi untuk menggalak dan membangunkan kreativiti bagi semua kanak-kanak tanpa bermatlamat untuk menjadikan mereka pencipta, memadai sekadar membina generasi akan datang sebagai pemikir kritikal. –Faraq Moussa

Sekali sekala, tinggalkan laluan biasa dan masuklah ke dalam hutan. Anda pasti akan menjumpai sesuatu yang anda tidak pernah lihat sebelum ini. –Alexander Graham Bell

Beribu-ribu hutan terhasil dari sebiji buah oak. –Ralph Waldo Emerson

Imaginasi adalah lebih penting daripada ilmu. –Albert Einstein

Penghibur Duka

Penghibur duka,
Tak seteruk gelaranmu,
Dirimu indah nian,
Indah bak manikam,
Hanya jauhari menghargaimu,
Hanya diriku mengenalimu.

Penghibur duka,
Dirimu insan istimewa,
Anugerah terindah kumiliki,
Anugerah terbaik untukku,
Anugerah yang takkan kusiakan,
Kerna dirimu intan berharga.

Penghibur duka,
Kuibaratkan dirimu,
Bagai lilin membakar diri,
Menerangi gelita hidupku,
Derita sendiri disorokkan,
Sedih hatimu diremehkan,
Keperluanku dikau cukupkan,
Sayang padaku tanpa sempadan.

Penghibur duka,
Benarlah,
Dikaulah,
Anugerah terindah pernah kumiliki,
Benarlah,
Syurga di bawah tapak kakimu.

Senja Nan Merah

Senja menjelang sudah,
Ke sarang pulangnya burung,
Ke jeti pulangnya sampan,
Ke rumah pulangnya nelayan
Rezeki disyukuri seadanya.

Senja menjelang sudah,
Si kecil berlari-lari anak,
Riuh-rendah suara si kecil,
Rumah kecil tempat tujuan,
Semangat tak sekecil tubuhnya.

Senja nan merah,
Indah nian pemandangannya,
Dalam amat pengertiannya,
Buat musafir yang merindu,
Buat hamba berserah diri,
Buat si ayah pencari rezeki,
Buat si bonda pemberi semangat,
Buat si anak penghibur keluarga,
Buat pelakon pentas dunia.

Senja nan merah,
Dilabuhkan tirai langsir,
Ditutupkan buku seharian,
Dengan harapan,
Fajar menyinsing esok harinya,
Dengan harapan,
Esok menjanjikan lebih cahaya
.

Bak Angin Lalu

Ada apa dengan pendamaian?
Khabar-khabar angin cuma,
Ada apa dengan keamanan?
Mimpi di siang hari cuma,
Semuanya bak angin lalu.

Ada apa dengan diplomasi?
Sedangkan,
Si kecil jadi mangsa terus-terusan,
Sedari kecil sendirian,
Bersama ibu bapa sekejap hanya,
Semuanya bak angin lalu.

Ada apa dengan perundingan?
Andai nyawa ibarat buih di lautan,
Diragut sekelip mata,
Sekalipun menangis air mata darah,
Takkan kembali insan tersayang.
Semuanya bak angin lalu.

Ada apa dengan peperangan?
Semboyan-semboyan keamanan,
Didengar bak angin lalu,
Insan berhati buta,
Didengar hanya,
Bak angin lalu…

Kurung Merah

Kurung merah tanda keazaman,
Tegas sebalik kelembutan,
Sayang balik kemarahan,
Kebencian jauh sekali,
Dialah dia,
Insan biasa cuma,
Namun luar biasa semangatnya,
Kain putih dicorak sebaiknya.

Lembut balik ketegasan,
Tanpa jemu mendidik,
Diulang-ulang pengajaran,
Dicurah-curah nasihat,
Jemu tak sekali-kali,
Kerna dialah dia,
Ditabur budi seikhlas hati,
Yang lemah dipimpinnya,
Yang kuat diteguhkannya,
Seteguh semangat merahnya.

Nasihat dicurah-curah,
Segala ilmu dia ajarkan,
Masa depan punya bekalan,
Kerna dialah dia,
Pendidik anak bangsa,
Kerna dialah dia,
Guru berbaju kurung merah.