Selasa, 13 Julai 2010

Satu Cinta!

Manusia sepertiku sangat suka bertanya, kenapa begini? Kenapa begitu? Tapi, sedarkah kalian bahawa Allah tidak pernah bertanya, kenapa perlu Dia memberi rezeki kepada si fulan si fulan. Sekiranya Allah mengajukan persoalan kepada setiap manusia kenapa perlu Dia beri kita hidup dan menghirup udaraNya secara percuma?Justeru, apa jawapan kita? Pernahkah kita memberi imbalan yang setimpal kepada Allah? Jawapannya, sudah pasti kita tidak mampu kerana apa sahajalah kudrat kita sebagai manusia dibandingkan dengan sifatNya yang Maha Sempurna, Maha Besar.

Justeru, panjatkanlah beribu-ribu kesyukuran kepada Allah. Mungkin bercakap hanya senang, namun untuk bersyukur, bukanlah sesenang itu. Berdoalah kepada Allah supaya kita diberi ilham untuk bersyukur sebagaimana doa Nabi Sulaiman dalam surah An-Naml, 27:19 yang berbunyi, “Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu (Allah) yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hambaMu yang saleh.”

Di sini, apa sekalipun, doa adalah senjata utama umat Islam. Untuk menjadi orang yang bersyukur, doa adalah langkah pertama supaya Allah membuka pintu hati kita untuk bersyukur di atas segala nikmat kurniaanNya yang seringkali kita pandang sebelah mata. Sekiranya Allah menghendaki, Dia mampu menarik balik segala nikmat yang diberikanNya kepada kita dengan sekelip mata.

Oleh itu, bermuhasabahlah wahai diri dan kalian semua. Wallahualam.... ;)